Ramai yang masih tidak sedar akan
kepentingan bersarapan. Sarapan sebenarnya adalah RAHSIA untuk kita kekal sihat
dan bertenaga sepanjang hari. Pada era globalisasi ini manusia sentiasa mengejar
masa untuk ke tempat kerja dan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas, mereka
terpaksa keluar rumah pada awal pagi. Situasi ini menyebabkan mereka memilih
untuk tidak bersarapan kerana ingin menjimatkan masa. Sedangkan, tanpa sarapan
mereka mengambil risiko untuk:
-tidak dapat memberi tumpuan lebih lama
terhadap sesuatu perkara untuk jangka masa yang panjang
-kurang peka terhadap persekitaran
-mengambil masa yang yang lama untuk
bertindak balas (lambat ‘respond’)
-kandungan gula dalam darah rendah
(cepat lesu)
-produktiviti kerja menurun...
SARAPAN dianggap begitu penting untuk memastikan
badan sentiasa cergas dan minda cerdas sepanjang hari. Malah sarapan juga
sebenarnya penting untuk diamalkan bagi mereka yang ingin mendapatkan tubuh
badan menawan.
Ringkasnya,
sarapan amat penting untuk semua peringkat umur tidak kira bagi kanak-kanak
mahupun dewasa bagi memastikan kesihatan tubuh badan terjamin.
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Seremban, Iman Abdul Halim, sarapan
pagi adalah satu cara untuk memberikan bentuk badan yang ideal seperti
diidamkan.
Seseorang yang
tidak mengambil sarapan kononnya untuk menurunkan berat badan lebih cenderung
mengalami peningkatan berat badan.
Tidak mengambil
sarapan berkait rapat dengan masalah obesiti. Kajian menunjukkan individu yang
mengalami masalah obesiti kebanyakannya adalah mereka yang tidak mengambil
sarapan.
Kajian juga
mendapati meninggalkan makanan terutama sarapan menjadikan kawalan berat badan
semakin sukar. Seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil
makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat
serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan.
Beberapa kajian
menunjukkan tabiat sebegini akan mengumpulkan lebih banyak lemak badan apabila
mereka makan lebih sedikit dan mengandungi kalori tinggi yang diambil secara
kerap.
“Apabila seorang
itu mengalami masalah obesiti ataupun berlebihan berat badan, mereka cenderung
untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit jantung.
“Bagi mereka
yang mengalami masalah sakit perut, angina (penyakit yang menyebabkan kesakitan
dan kesesakan nafas) atau perut tidak selesa, ia tidak sepatutnya dijadikan
alasan untuk meninggalkan sarapan.
“Pilihan makanan
yang berkhasiat dan bersih amat penting. Pengambilan sarapan perlu dibiasakan
bagi individu yang menganggap ia tidak penting,” nasihatnya kepada golongan
dewasa yang gemar meninggalkan sarapan setiap hari.
Tambahnya, tubuh
badan manusia seperti kereta yang perlu diisi dengan minyak supaya boleh
bergerak. Badan kita perlu diisi dengan makanan beberapa kali dalam sehari
supaya ia boleh berfungsi secara cekap dan dapat melakukan tugas harian lebih
baik.
Kajian untuk
membandingkan antara keberkesanan mental dan fizikal terhadap sekumpulan orang
dewasa dalam sehari menunjukkan mereka yang tidak mengambil sarapan semakin
kurang cergas menjelang tengah hari.
“Setiap pagi,
selepas beberapa jam kita tidak mendapat bekalan makanan, sangat penting untuk
bersarapan supaya ia dapat membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan tubuh
badan untuk melakukan aktiviti seharian.
“Jika seseorang
itu tidak mengambil sarapan, mereka akan berasa letih, lesu, pening, tidak
bermaya, mudah marah dan bermasalah untuk menumpukan perhatian.
“Masa yang lama
diperlukan untuk menyelesaikan tugasan terutama jika di tempat kerja. Jika
tidak bersarapan, kita cenderung untuk mengambil makanan manis untuk
meningkatkan tenaga.
“Jika seseorang
sedang bekerja dan waktu makan tengah hari belum tiba, pada ketika inilah kita
cenderung untuk mengambil makanan yang kurang berkhasiat seperti coklat,
kerepek atau makanan ringan lain.
“Di samping itu,
mereka akan berasa sangat lapar dan apabila tiba waktu makan tengah hari,
mereka akan mengambil kuantiti makanan yang banyak,” jelasnya mengenai kesan
bagi mereka yang malas dan tidak mahu mengambil sarapan sebagai rutin harian.
Sarapan tidak
hanya penting bagi mereka yang inginkan berat badan ideal tetapi juga kepada
kanak-kanak yang bersekolah.
“Pada waktu
pagi, setelah lapan hingga 12 jam semalaman tidak mendapat makanan sewaktu
tidur, simpanan tenaga adalah rendah.
“Tumbesaran dan
perkembangan otak bergantung kepada pengambilan makanan yang berkhasiat dan
seimbang. Apabila mereka tidak mengambil sarapan, untuk menunggu waktu makan
seterusnya boleh mengambil tempoh sehingga 18 jam.
“Tempoh ‘separa
kelaparan’ ini boleh menimbulkan masalah fizikal, intelektual dan tingkah laku
mereka. Justeru, sarapan ialah hidangan yang paling penting diambil tetapi
masih ramai lagi kanak-kanak tidak menikmatinya.
“Pengambilan
sarapan di kalangan murid-murid membantu daya penumpuan mereka, mempengaruhi
tingkah laku semasa proses pembelajaran dan mengurangkan keletihan.
“Pengambilan
sarapan penting tetapi apa yang mereka ambil atau makan perlu juga dititikberatkan.
Memilih sarapan yang kaya dengan bijirin penuh, serat, protein, rendah lemak
dan gula boleh meningkatkan tahap penumpuan yang memang diperlukan untuk proses
pembelajaran.
“Karbohidrat
adalah sumber tenaga utama untuk tubuh badan. Serat membantu dengan memberi
rasa kenyang bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan.
“Apabila
digabungkan dengan pengambilan air yang mencukupi, serat membantu
menggerakkan makanan melalui sistem pencernaan, mengurangkan risiko sembelit
dan juga menurunkan tahap kolesterol darah,” jelasnya.
Meninggalkan
sarapan juga boleh menjadikan kanak-kanak berasa letih dan tidak bermaya. Hal
ini secara tidak langsung mempengaruhi proses pembelajaran mereka.
Mood dan tenaga
mereka semakin menurun sepanjang waktu pembelajaran jika tidak menjamah
sebarang makanan. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil sarapan
mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak bersarapan.
FAKTA:
Antara sumber nutrien termasuk:
Karbohidrat seperti bijiran penuh, beras perang, roti bijirin penuh, sayuran
dan buah-buahan.
Protein seperti produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak, ayam, ikan,
daging, telur dan kekacang.
Serat seperti roti bijiran penuh, bijirin sarapan, kekacang, sayuran dan buah.
Kepentingan
bersarapan:
Kecerdasan minda terutama memori yang baik.
Keputusan ujian atau peperiksaan yang baik, kedatangan ke sekolah dan mood
mereka.
Tumpuan dan perhatian yang lebih di dalam kelas.
Pemakanan yang baik secara keseluruhan.
Berat badan yang ideal.
Jadi, selepas ini kita haruslah sentiasa memastikan bahawa kita
mengambil sarapan setiap hari bagi
memastikan kita mendapat semua kebaikan daripada tabiat bersaparan pagi...Jom sarapan!
sumber:
hmetro.com.my
0 comments:
Catat Ulasan